Saturday, October 29, 2011

Matapelajaran Pendidikan Islam


Di Malaysia, pelaksanaan Pendidikan Islam di dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan adalah berdasarkan perakuan-perakuan yang terkandung di dalam Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960 dan dalam Akta Pelajaran 1961. Perakuan-perakuan di dalam ketiga-tiga Penyata Akta tersebut telah memperuntukkan supaya agar semua sekolah yang mempunyai 15 atau lebih murid Islam wajib mengajarkan mata pelajaran agama Islam. Hasil daripada perakuan tersebut, pada peringkat awalnya mata pelajaran Pendidikan Islam telah diajar di luar jadual waktu persekolahan (di waktu petang). Pada tahun 1962 barulah mata pelajaran Pendidikan Islam dimasukkan ke dalam jadual waktu rasmi sekolah dengan peruntukan masa pengajaran dan pembelajarannya sebanyak 120 minit seminggu (Abd. Rauf Dalip, 1984:1).

Pada akhir tahun 1980-an merupakan tahun reformasi dan penjelmaan kembali Pendidikan Islam dalam Sistem Pendidikan Negara. Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dengan berani telah menjadikan “kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan” sebagai teras dan dasar penjurusan segala aktiviti pendidikan. Malahan tidak keterlaluan jika FPN telah mendokong cita-cita dan hasrat Falsafah Pendidikan Islam. FPN telah meletakkan ‘pembinaan insan seimbang’dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani ke arah melahirkan insan sepadu yang tunduk dan patuh kepada Tuhan (Ahmad Mohammad Salleh, 2004:55).Mulai tahun 2000, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menyemak semula Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam sejajar dengan semua mata pelajaran lain dalam kurikulum kebangsaan. Sukatan Pelajaran Kurikulum Semakan Pendidikan Islam telah dibetangkan kepada YAB Perdana Menteri pada 8 Mac 2001 (Unit Kurikulum Pendidikan Islam Teras, Bahagian Kurikulum Pendidikan Islam dan Moral:125).

Sumber: Artikel

No comments:

Post a Comment